KUALA LUMPUR: Beberapa negara selatan ASEAN termasuk Malaysia dijangka menghadapi jerebu berikutan sejumlah 353 titik panas dikesan di Kalimantan dan 113 titik panas lagi di Sumatera, Indonesia.

Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata, trajektori asap jerebu dari Kalimantan akan memberikan kesan kepada beberapa negeri di timur Malaysia.

Katanya, ia juga dijangka berlangsung selama beberapa hari bermula semalam.

"Output Model HYSPLIT menunjukkan ramalan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam bermula 8 pagi, 30 September (semalam) sehingga 8 pagi, 3 Oktober (Selasa ini).

"Trajektori asap jerebu dari Kalimantan dijangka memberikan kesan jerebu kepada Kuching, Serian dan Samarahan, Sarawak pada pertengahan tempoh ramalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan kepada imej satelit NOAA-20 semalam yang direkodkan oleh ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC), tiada bilangan titik panas bagi kategori High Confidence Level direkodkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Namun di Kalimantan menunjukkan 353 titik panas manakala di Sumatera terdapat 113 titik panas dikesan," katanya.

Sementara itu menurut ASMC, kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan berpunca dari titik panas yang dikesan di bahagian selatan Sumatera dan ia diperhatikan bergerak ke arah barat laut.

"Berdasarkan imej satelit terkini (semalam), titik panas bertaburan dikesan di bahagian selatan Kalimantan dan Sumatera manakala beberapa titik panas dikesan di Sulawesi, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil.

"Di Kalimantan, jerebu asap sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Selatan dan sebahagian besar Kalimantan Tengah. Jerebu juga diperhatikan bergerak ke timur laut dan ke Kalimantan Timur," katanya.

ASMC berkata, stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta di Kalimantan Tengah melaporkan berada di tahap tidak sihat.